Khamis, November 26, 2009

AidilAdha

Ketika ini umat Islam di Mekah semakin tiba ke penghujung dalam mengerjakan ibadah haji. Pada waktu ini juga umat Islam yang lain di seluruh dunia khususnya di negara kita sedang sibuk membuat persiapan untuk meraikan Hari Raya AidilAdha.



Mari kita selami peristiwa disebalik sambutan AidilAdha.

Peristiwa Pertama
Peristiwa Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus.
Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke lima, Mekah atau dahulunya di kenali sebagai Bakkah.

Peristiwa Kedua
Ujian Allah s.w.t. ke atas Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s yang berakhir dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai ganti kepada anaknya.Peristiwa ini menunjukkan betapa patuhnya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi arahan yang diberikan oleh Allah tanpa rasa ragu-ragu mahupun curiga:
Nabi Ismail a.s. berkata:
``Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)

Peristiwa Ketiga
Pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua nabi Allah yang mulia ini.``Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat.
``Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: ``Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud...''
(Al-Baqarah:125)

Al-Quran memberikan gambaran yang jelas tentang keperibadian Nabi Ibrahim di dalam surah Al Nahl ayat 120-122 bermaksud: ``Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah, dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya.

``Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukkannya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia.``Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.'' (An-Nahl:120-122)

Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah, merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kaabah pada mulanya telah dibina oleh Nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak. Nabi Ibrahim membinanya semula di atas tapak yang sama. Baginda meminta Nabi Ismail mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah. Maka Jibril memberikan Nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad.
Semasa batu itu diletakkan, mereka berdoa, ``Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): ``Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.


``Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami.``Sesungguhnya Engkaulah yang maha penerima taubat lagi maha penyayang.''

(Al-Baqarah:127-129)

Kaabah merupakan kiblat, yakni arah tuju Muslim ketika menunaikan kewajipan solat.Meskipun Muslim mengarahkan dirinya kepada Kaabah ketika solat, Muslim tidak menyembahnya. Hakikatnya, yang layak disembah hanyalah Allah s.w.t.

Firman Allah menjelaskan: ``Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menghadap ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidul Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.'' (Al Baqarah: 144).

Apakah yang menjadikan AidilAdha itu lebih meriah??



Sudah pastilah kerana adanya ibadah korban, iaitu menyembelih haiwan ternakan tertentu sebagai suatu tuntutan ibadah kepada Allah. Lazimnya kalau di negara kita, lembu adalah binatang popular untuk dikorbankan.

Wahai Rasulullah,apakah erti korban ini? Jawab Rasulullah…itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim.
Sahabat bertanya lagi, apakah keuntungan korban ini? Tiap2 bulunya merupakan satu hasanah iaitu satu kebaikan…jawab Rasulullah.

Sesungguhnya, setiap apa yang disuruh oleh Allah sudah tentu terkandung banyak hikmahnya. Bagi kita yang berakal, sudah tentu mengetahui akan adanya nilai yang tinggi terkandung mengenai makna kehidupan.Namun begitu, kita jangan sesekali memandang dan mengistilahkan korban itu hanya dalam bentuk fizikal sahaja untuk menjalankan ritual korban itu sendiri.
Jika dihayati dengan lebih mendalam, kita harus menghayati falsafah disebalik sebuah pengorbanan kerana itu bakal menjadikan peribadi diri kita lebih kuat dan matang. Pengorbanan kita untuk hari ini, sudah tentu akan dibawa untuk hari kemudian.

Apakah pengorbanan yg telah anda lakukan?

Sumber : Utusan Malaysia (12.2.2003)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jgn malu,jgn segan...Mehlah tinggalkan komen korang...